Tuesday, February 25, 2014

7 Kesilapan Kewangan oleh Sunthara Segar

Setiap orang pasti melakukan kesilapan kewangan dalam setiap fasa penting hidup mereka.

Ada yang tidak belajar langsung berkenaan pelaburan sehingga mendekati umur persaraan. Ada yang menyalah guna kad kredit semasa muda sehingga menanggung akibat berpuluh-puluh tahun kemudian.

Biar apa pun kesalahan sebelum ini, kita masih mempunyai peluang memperbaiki kedudukan kewangan dan berusaha meminimumkan kesalahan pada masa akan datang. Belajar daripada kesalahan orang lain dan semak sama ada kita pernah melakukan kesalahan berikut:

Kesilapan 1: Menggunakan alasan-alasan seperti “masih muda”, “selepas berumah tangga”, ataupun “bila anak besar” bagi tidak memulakan pelan kewangan seperti tabungan pendidikan anak, insurans perubatan, simpanan persaraan, ataupun mengurus hutang.

Kesilapan 2: Gagal menetapkan matlamat kewangan dan cara mencapainya secara bertulis. Tidak pernah meluangkan masa memikir perihal matlamat kewangan yang kritikal sekarang, masa pencapaiannya, dan berapa simpanan yang perlu diperuntukkan setiap bulan.

Kesilapan 3: Kekurangan disiplin bagi mengawal perbelanjaan harian kerana pengaruh iklan dan propaganda media, senang memohon kad kredit, jualan murah, desakan rakan, dan keinginan mengecap hidup bergaya.
"Saya tewas dalam hampir 300 perlawanan bola keranjang. 26 kali saya diberi kepercayaan bagi melakukan jaringan kemenangan, tetapi semuanya gagal. Saya pernah gagal berkali-kali dalam kerjaya saya dan itu sebabnya saya berjaya sekarang."
- Michael Jordan -

Kesilapan 4: Tidak sedar kesan matematik nilai mata wang kepada hutang-piutang yang mengambil masa yang lama bagi dilangsaikan sekiranya tersilap langkah. Ataupun mengapa melabur wang secara konsisten setiap bulan akhirnya dapat menjadikan seseorang itu jutawan.

Kesilapan 5: Tidak pernah merancang dan menghidupkan program insurans ataupun takaful untuk keluarga. Risiko kehidupan seperti bil hospital dan hilang upaya kekal dapat menghakis simpanan yang sedia ada, malah tidak mustahil sekiranya semua simpanan seumur hidup lenyap sekelip mata.

Kesilapan 6: Tidak membuat persediaan menangani ‘musuh’ kewangan yang utama iaitu inflasi. Dalam masa setahun sahaja nilai gaji baru akan dihakis oleh inflasi. Apa senjata yang ada bagi melawan inflasi, kanser kewangan nombor satu?

Kesilapan 7: Enggan menggunakan perkhidmatan penasihat kewangan bertauliah atas alasan perlu membayar yuran. Namun, sanggup diperbodohkan oleh penasihat palsu yang memperkenalkan skim cepat kaya. Usah segan meminta khidmat nasihat penasihat kewangan sekiranya otak sudah buntu.

Reactions:

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!