Sunday, December 30, 2012

Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta | Stadium Indera Mulia Ipoh



IPOH 28 Dis. - Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta yang menghimpunkan 60 penggiat industri perkahwinan membuka tirainya hari ini dengan majlis perasmian penuh meriah di Stadium Indera Mulia, di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Majlis diserikan dengan acara simbolik memotong kek perkahwinan oleh Hamidah sebelum hadirin dihiburkan dengan pertunjukan fesyen oleh Mai Sanding Bridal.

Suasana lebih meriah apabila penyanyi Tomok mengambil tempat dan mempersembahkan tiga lagu iaitu Arjuna, Aku Datang dan Berlari.

Hamidah dalam ucapannya berkata, ekspo tersebut yang pertama kali dianjurkan secara bersama antara kerajaan negeri dan akhbar Utusan Malaysia mampu merancakkan lagi industri perkahwinan di negara ini.
Ini kerana katanya, dengan menghimpunkan para penggiat industri perkahwinan di bawah satu bumbung, beliau yakin mampu memberi impak dalam mengembangkan lagi potensi industri tersebut.

"Industri perkahwinan bukan lagi macam dahulu, kini ia mampu berkembang maju dan membawa pulangan lumayan," katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Pengarang 2 Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid berkata, ekspo yang diadakan sempena peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia musim keempat itu bakal diteruskan di lokasi ketiga di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada Januari depan.

"Melalui ekspo ini, kita menyediakan pelbagai produk perkahwinan di bawah satu bumbung bagi memudahkan bakal raja sehari mencari keperluan perkahwinan mereka. Selain itu kita juga mengatur pelbagai program menarik kepada para pengunjung selama tiga hari ini," katanya.

Ekspo yang akan berakhir Ahad ini adalah kedua selepas kali pertama dianjurkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) April lalu.

Dikendalikan butik perkahwinan Dios Astana Bridal, ekspo tersebut turut menampilkan syarikat-syarikat terkemuka seperti Kampung Pengantin, Mastar Catering, Afidah Khamis Makeup and Stuff, Precious Moments Collection, D'sayang Entertainment, Suri Permai Spa dan CJ Print.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121229/dn_14/Ekspo-Perkahwinan-dan-Fesyen-Gerbang-Cinta-meriah#ixzz2GSRVIDEV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!